Wednesday, 2 September 2015

Gejala Mat Rempit

Gejala mat rempit
Fenomena perlumbaan motosikal haram di Malaysia dikenali “Mat Motor” atau “Mat Rempit”.  Istilah Mat Rempit telah mula diperkenalkan oleh seorang wartawan, iaitu Wan Kamarulzaman melalui edisi siasat yang merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram.  Ia merupakan salah satu gejala sosial remaja di Malaysia sekarang dan aktiviti ini sudah mula menular sekitar tahun 1990-an ekoran berkembangnya acara grand prix dan formula 1 secara meluas di Malaysia.

            Perkembangan jaringan jalan raya semakin baik di Malaysia telah menyebabkan fenomena perlumbaan motosikal haram turut berkembang.  Kemudahan terbaik yang disediakan oleh kerajaan Malaysia telah disalahgunakan oleh golongan yang dipanggil sebagai "samseng jalan raya” untuk dijadikan sebagai medan perlumbaan.  Mereka bukan sahaja merempit malah juga turut melibatkan diri dalam masalah sosial seperti pengambilan alkohol dan dadah serta seks bebas.

            Dalam Laporan Trafik, 1998, didapati remaja yang berumur antara 18 hingga 22 tahun terlibat dalam kegiatan perlumbaan haram ini.  Mereka terlibat dalam aktiviti ini kerana terpengaruh dengan rakan sebaya. Rakan sebaya telah banyak memainkan peranan dan lebih rapat dalam kehidupan meraka dan pengaruh ini secara tidak langsung akan membentuk sahsiah diri seseorang remaja itu sendiri.  Remaja juga mudah terikut-ikut dengan apa-apa yang dilakukan oleh rakan sebaya tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi oleh mereka.  Selain itu, mereka terjebak dalam kegiatan tersebut kerana naluri untuk mencuba dan ingin mencari kepuasan diri.  Dengan melalui kegiatan ini, mereka mendapat kepuasan daripada kejayaan mereka dalam melakukan aksi-aksi yang berbahaya dan membuktikan kepada rakan-rakan bahawa mereka adalah handal dan berani.

            Ibu bapa yang tidak memberi perhatian dan sibuk mencari rezeki juga merupakan salah satu punca remaja terlibat dalam kegiatan perlumbaan haram kerana mereka tidak dapat meluangkan masa bersama anak-anak dan telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak seperti tidak memberikan kasih sayang.  Seterusnya, anak-anak akan berasa sunyi dan memberontak untuk mendapatkan perhatian daripada ibu bapa mereka melalui kegiatan perlumbaan haram ini.

            Pelumba-pelumba haram hanya tidak tertumpu di satu kawasan atau negeri dan aktiviti ini dilaporkan berlaku hampir di seluruh negara.  Pihak polis trafik telah membahagikan kawasan perlumbaan kepada beberapa zon, iaitu zon tengah, zon utara, zon selatan, zon Sabah dan zon Sarawak.  Zon yang paling banyak sekali kes perlumbaan motosikal haram dilaporkan adalah di zon tengah dan utara yang meliputi negeri Selangor, Melaka, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

            Antara kesan utama daripada gejala sosial ini ialah berlakunya kemalangan, kecedaraan dan kematian akibat perlumbaan haram tersebut.  Pertambahan dalam bilangan kemalangan jalan raya di seluruh negara juga berlaku akibat kegiatan perlumbaan haram ini.  Kemalangan jalan raya ini akan mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda seperti kenderaan, bangunan dan sebagainya.  Mat rempit juga telah mengganggu kehidupan masyarakat yang mengakibatkan masyarakat hidup dalam keadaan yang tidak aman dan selamat terutamanya apabila berada di jalan raya.  Suasana di sekeliling perumahan juga akan menjadi bising kerana bunyi yang dikeluarkan daripada motosikal mat rempit yang kuat akibat diubahsuai dan mengganggu masyarakat untuk berehat pada waktu malam.

            Kes-kes jenayah yang lain seperti mencuri, merompak, pergaduan, pengedaran dan penagihan dadah, seks bebas dan sebagainya juga akan berkembang di masyarakat Malaysia yang telah membimbangkan semua pihak seterusnya memburukkan imej negara dan mengganggu usaha kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan untuk perkembangan ekonomi.
Pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah bekerjasama dengan menjalankan operasi-operasi penangkapan pesalah-pesalah jalan raya khususnya pelumba haram untuk membendung gejala yang tidak sihat ini.  Kementerian pengangkutan juga boleh mengadakan kempen kesedaran tentang kepentingan keselamatan jalan raya terutamanya gejala mat rempit kepada masyarakat.

            Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan cara pengawasan dan kawalan sepatutnya kepada anak-anak.  Pergaulan anak dengan rakan perlu diawasi kerana pengaruh rakan merupakan faktor utama untuk mendorong mereka melakukan atau melibatkan diri aktiviti yang tidak sihat.  Selain itu, penerapan nilai-nilai murni dan agama dalam anak amat diperlukan sejak dari awal lagi supaya mereka dapat membuat keputusan yang dengan menggunakan fikiran yang rasional dan baik kerana adanya pegangan agama yang kuat dan utuh.

            Kita haruslah sedar bahawa golongan remaja merupakan generasi yang akan menjadi pemimpin negara yang membawa kita dan negara ke arah kemajuan.  Gejala sosial seperti gejala mat rempit ini akan menjejaskan masa depan seseorang remaja itu kerana dia akan terjebak dalam jenayah buruk yang boleh memusnahkan diri sendiri.  Oleh itu, kita haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah ini untuk melahirkan masyarakat yang aman dan harmoni serta pemuda pemudi di negara kita bebas daripada terlibat dalam aktiviti ini.


No comments:

Post a Comment