Gejala Ponteng Sekolah
Pada era globalisasi ini, gejala
ponteng sekolah semakin menjadi-jadi dan telah sampai ke tahap yang agak
kritikal. Gejala ponteng sekolah sering
ditakrifkan sebagai perbuatan yang menyalahi peraturan sekolah. Mengikut laporan Disiplin Pelajar Sekolah Manusia
(1991), gejala ponteng merupakan salah satu daripada sembilan jenis tingkah
laku pelanggaran disiplin oleh pelajar.
Kes ponteng sekolah telah mencatat peratusan kekerapan yang tertinggi
iaitu sebanyak 15 peratus. Hal ini bagai
duri dalam daging dan membimbangkan semua lapisan masyarakat.
Pada tahun 1993, kajian yang
dilaksanakan oleh Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia telah
menunjukkan bahawa faktor keluarga merupakan penyumbang tertinggi iaitu 81.03
peratus pelajar melakukan kesalahan. Ibu
bapa yang sibuk dengan kerja pejabat tidak mengambil berat dan memberi galakan
kepada anak telah menyebabkan pelajar itu tidak mempunyai semangat untuk
belajar dan memilih untuk ponteng sekolah.
Selain itu, kekurangan minat dan sikap negatif pelajar terhadap
pelajaran merupakan antara punca berlakunya gejala ponteng sekolah. Kebanyakan sukatan pelajaran menumpukan
perhatian kepada mata pelajaran yang memerlukan kemahiran menghafal tidak dapat
menarik minat pelajar yang lemah untuk belajar kerana mereka mungkin tidak
berkemampuan untuk memahami dan mendalami kandungan dalam buku teks
sepenuhnya. Hal ini telah menyebabkan
mereka yang tercicir dalam pelajaran lebih rela memonteng sekolah untuk melepak
di merata-rata tempat untuk mencari keseronokan. Gejala ponteng sekolah turut banyak berlaku
di semua peringkat pendidikan seperti sekolah harian, sekolah berasrama penuh
mahupun di peringkat universiti.
Antara impak gejala ponteng sekolah
termasuklah remaja yang kerap mengamalkan tabiat ponteng sekolah akan terlibat
dalam pelbagai kegiatan negatif yang menyumbang kepada peningkatan masalah
sosial dalam masyarakat. Di samping itu,
negara juga akan menghadapi kekangan kekurangan bakal peneraju berwibawa yang
boleh menjamin masa depan diri dan negara akibat daripada amalan ponteng
sekolah yang menyebabkan keciciran pelajar dalam pelajaran. Modal insan yang kurang berpendidikan tidak
dapat dijadikan sebagai aset yang berharga dan bernilai untuk memajukan negara
berasaskan ilmu pengetahuan.
Bagi membendung gejala ini, ibu bapa
seharusnya memberi kasih sayang dan perhatian sepenuhnya seperti menatang
minyak yang penuh dengan mengambil berat perkembangan seperti gerak geri anak
dari semasa ke semasa untuk memastikan kehadiran anak di sekolah merupakan
antara cara bagi membendung gejala ini.
Masyarakat juga tidak sepatutnya bersifat bagai “enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing” dan sepatutnya bersikap proaktif dalam
melaporkan kes-kes ponteng sekolah kepada pihak berkuasa seperti polis yang
dapat mengambil tindakan susulan terhadap pelajar yang memonteng sekolah. Tambahan pula, pihak sekolah juga perlu
memainkan peranan dalam mewujudkan peraturan sekolah yang lebih ketat agar
menjadi amaran dan pengajaran kepada pelajar yang selebihnya. Perubahan pedadogi guru yang lebih menarik
dalam proses pengajaran dapat membantu pelajar untuk memupuk minat terhadap
pelajaran bagi mengelakkan berlakunya masalah tersebut. Pemberian sijil penghargaan kehadiran 100%
juga boleh menjadi suatu pendekatan untuk menggalakkan kehadiran pelajar ke
sekolah supaya mereka berusaha untuk mendapat sijil tersebut yang memudahkan
pemohonan biasiswa dan pekerjaan kelak.
Hal ini secara tidak langsung telah banyak membantu dalam mengatasi
kemelut ini.
Pada pandangan saya, jika masalah
ini tidak diatasi dengan serta-merta, hasrat kerajaan untuk melahirkan modal
intelek tidak dapat dimakbulkan dan ini akan membawa kepada kerencatan agenda
kerajaan untuk merealisasikan wawasan negara.
Tuntasnya, semua pihak memainkan peranan tersendiri yang signifikan
untuk memastikan gejala ini berada dalam keadaan terkawal kerana “api kecil
baik dipadam”.
No comments:
Post a Comment