Monday, 31 August 2015

Bab 6 Isu Kesantunan Masyarakat Malaysia

Isu Pemerdagangan Manusia
Dewasa ini, Malaysia yang dibanjiri mangsa pemerdagangan manusia telah menjadi satu topik hangat yang diperdebatkan.  Secara umumnya, istilah pemerdagangan manusia merujuk kepada perdagangan atau perniagaan yang melibatkan pergerakan atau migrasi manusia secara haram yang merangkumi aktiviti buruh secara sah ataupun melalui paksaan.  Situasi ini telah menjadi lebih genting apabila Malaysia telah dijadikan sasaran sindiket antarabangsa sebagai transit bagi aktiviti pemerdagangan manusia di rantau Asia Tenggara kerana kedudukan Malaysia yang terletak di tengah-tengah negara Asian.
           
Antara punca pencetus yang menggalakkan perkembangan isu pemerdagangan manusia boleh diperhatikan melalui dua sudut yang berlainan iaitu pertamanya faktor penolak atau dalaman dan seterusnya faktor penarik atau luaran.  Faktor penolak boleh dikatakan sebagai faktor yang mengambil kira keadaan di negara asal pendatang. Elemen kemiskinan, kemelesetan ekonomi dan kekurangan peluang pekerjaan di sesebuah negara asal pendatang telah menjadi pendorong kepada kewujudan aktiviti pemerdagangan manusia.  Selain itu, faktor penarik seperti jurang ekonomi yang wujud antara negara-negara jiran pula merupakan daya tarikan yang menyebabkan mereka mempunyai keinginan untuk bekerja di luar negara.  Perkembangan iktisad pesat yang menjamin kemakmuran negara telah menjadi daya tarikan utama kepada warga asing dari seluruh pelosok dunia.  Hal ini secara tidak langsung telah membuka peluang kepada kerancakan aktiviti tersebut kerana tawaran gaji yang lumayan memberi jaminan kehidupan yang lebih memuaskan di samping permintaan tenaga kerja akibat daripada kekurangan tenaga kerja di negara yang kaya itu juga merupakan antara punca tercetusnya isu ini.  Keadaan ini terbukti apabila statistik Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan hampir semua mangsa pemerdagangan manusia yang berjaya diselamatkan daripada sindiket haram antarabangsa berasal daripada negara-negara jiran berpendapatan rendah seperti Laos, Vietnam dan Myanmar.

Dari kaca mata yang berbeza, masalah pemerdagangan manusia juga mendatangkan kesan yang amat meresap kerana keselamatan dan kesejahteraan negara yang tergugat akan menimbulkan kerisauan dalam masyarakat sesebuah negara.  Hal ini terjadi kerana segelintir daripada mereka tidak mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.  Mereka bukan sahaja melakukan jenayah ringgan sesuka hati tanpa batasan seperti memukul orang, mencuri dan lain-lain lagi malah jenayah berat seperti penculikan yang mengancam keselamatan dan ketenteraman sesebuah negara.  Rentetan itu, hubungan antara anak dengan anak jiran yang lain tidak berani untuk dibiarkan sesetengah ibu bapa untuk berlaku secara semula jadi akibat daripada kebimbangan terhadap keselamatan anak dan juga melakukan pemilihan kawan secara elektif.  Nilai kejiranan dalam masyarakat juga akan semakin terhakis dan ikatan silaturahim antara satu sama lain akan menjadi semakin tegang.  Sementelahan itu, pengaliran wang keluar yang banyak ke luar negara telah menjejaskan ekonomi negara juga merupakan antara impak negatif isu pemerdagangan manusia.  Hakikatnya, kerugian sebanyak 20 bilion paun wang telah mengalir ke luar negara akibat daripada kegiatan itu.  Seterusnya, kegiatan pemerdagangan manusia dari pelbagai negara yang mempunyai budaya masing-masing akan mendatangkan kesan yang ketara iaitu berlakunya proses asimilasi budaya dalam sesuatu masyarakat dari unit tunggal yang kecil iaitu institusi kekeluargaan sehingga ke negara mahupun dari segi kebudayaan, sosial dan demografi.

Antara langkah pragmatik yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia termasuklah pengukuhan undang-undang yang berkenaan.  Selaras dengan itu, pada tahun 2010, Akta Antipemerdagangan Orang 2007 telah dipinda dan telah berubah menjadi Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.  Akta ini yang telah dirangka dan digubal lebih bersifat komprehensif dalam mengatasi kekangan ini yang bertepatan dan bersesuaian dengan persekitaran di Malaysia.  Melalui akta ini, nasib mangsa pemerdagangan manusia lebih terbela kerana kandungan menyeluruh yang merangkumi aspek pendakwaan, pencegahan, penjagaan dan perlindungan bagi mangsa aktiviti tersebut.  Tambahan pula, semua agensi penguatkuasa seperti imigresen, kastam dan polis sepatutnya menyelia kawasan sempadan dan pengairan yang panjang dan kurangnya penghuni yang menjadi pilihan perdana sindiket-sindiket antarabangsa untuk menjalankan kegiatan tersebut.  Kelonggaran dalam pengawasan mengakibatkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan menaburkan janji-janji kosong manis seperti menanam tebu di tepi bibir yang menawarkan pekerjaan, tempat tinggal dan kehidupan yang lebih baik kepada mangsa aktviti pemerdagangan manusia telah membawa kepada kegiatan yang semakin berleluasa tanpa batasan.  Sesungguhnya, kerjasama antara semua pihak ini amat mustahak bagi memastikan aktiviti ini dapat diatasi sepenuhnya.

Tuntasnya, saya berpendapat bahawa isu ini merupakan suatu kegiatan yang telah melanggar hak asasi manusia dan memijak maruah mangsa pemerdagangan manusia kerana mereka sering tertindas dari segi keperluan hidup seperti makanan dan tempat tinggal.  Saya berharap agar semua negara di persada antarabangsa dapat bersama-sama menggemblengkan tenaga untuk memerangi kegiatan tersebut secara habis-habisan demi kesejatheraan sejagat.




No comments:

Post a Comment