Saturday, 5 September 2015

Isu Pembuangan Bayi

Isu pembuangan bayi
Pembuangan bayi merupakan satu perbuatan yang zalim dan bertentangan dengan fitrah manusia yang pada hakikatnya cenderung kepada perasaan menyayangi dan disayangi.  Menurut pandangan Anitayahya (2007), pengguguran dan pembuangan bayi membawa maksud penamatan proses kehamilan sebelum cukup bulan yang mengakibatkan kemusnahan janin.  Pandangan yang diberikan oleh saudari telah membuktikan bahawa pembuangan bayi merupakan satu jenayah yang boleh dianggap sebagai jenayah yang berat dan teruk serta memaparkan kesan negatif kepada ibu sekiranya proses kelahiran dalam melahirkan anak tidak mengikut kaedah yang betul.

            Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ‘buang’ bermaksud mencampakkan, melemparkan, menghapuskan, dan menghilangkan manakala perkataan ‘bayi’ bermaksud anak kecil yang baru dilahirkan oleh si ibu.  Kedua-dua perkataan ini telah menjelaskan makna dan definisi untuk pembuangan bayi, iaitu perbuatan mencampakkan atau menghapuskan anak kecil yang tidak berdosa di merata-rata tempat tanpa ada sifat berperikemanusiaan.

            Hal ini telah berlaku disebabkan sikap ingin tahu dan mencuba yang ada pada remaja.  Mereka ingin menerokai setiap perkara yang telah dilarang oleh diri sendiri dan berfikir bahawa mereka akan menjadi lebih matang selepas mencuba benda atau aktiviti yang jarang dilakukan oleh orang lain yang sama usia dengan mereka seperti seks rambang.  Pengaruh daripada rakan sebaya juga telah menyebabkan kes pembuangan bayi ini berlaku.  Remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka dan hal ini akan bertambah buruk apabila mereka bergaul dengan rakan sebaya yang negatif.  Rakan sebaya yang negatif akan mengajak remaja untuk melakukan perkara-perkara yang di luar batasan agama dan norma masyarakat seperti pergi ke tempat hiburan, menghisap dadah, melakukan pergaulan bebas dan sebagainya.

            Sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum juga telah menyebabkan masalah pembuangan bayi ini berlaku.  Masyarakat setempat akan menghina dan memandang rendah pada remaja perempuan yang melahirkan anak luar nikah dan ini akan menjejaskan psikologi remaja tersebut yang akhirnya membuat keputusan untuk membuang bayi tersebut kerana takut dihina dan menjatuhkan maruah ahli keluarga.

            Kes pembuangan bayi ini telah memberikan impak yang mendalam kepada masyarakat di Malaysia.  Imej masyarakat sekeliling akan terjejas kerana sebagai rakyat yang hidup dalam komuniti yang sama, mereka akan berasa kecewa dengan apa yang berlaku telah di komuniti mereka terutamanya kes pembuangan bayi.  Selain itu, pembangunan sesebuah negara yang terletak kepada akhlak pemuda pemudi generasi akan datang atau sekarang akan terbantut dan ekonomi negara tersebut sukar diperkembangkan disebabkan berlakunya gejala sosial ini di masyarakat negara tersebut.  Untuk menampung bayi yang ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat, perbelanjaan kerajaan akan meningkat dan membebankan pihak kerajaan dan pihak lain dari segi kewangan.

            Untuk mengatasi masalah tersebut, perkhidmatan kaunseling haruslah disediakan oleh pihak kebajikan masyarakat dan kerajaan.  Mangsa rogol dan individu yang mengandung tanpa nikah haruslah diberkan khidmat nasihat dan perlindungan untuk membantu mereka kerana mereka akan mengalami ketidakstabilan dari segi emosi dan cuba mencederakan diri sendiri.  Pihak kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah mengadakan ceramah atau kempen kesedaran pada peringkat sekolah dan masyarakat untuk memberikan kesedaran tentang keburukan pergaulan bebas.  Usaha ini haruslah dilakukan secara berterusan dan konsisten untuk membimbing rakyat dan mengelakkan diri daripada terlibat dalam unsur negatif.

            Masalah pembuangan bayi ini tidak harus dipandang enteng kerana boleh mendatangkan kesan yang buruk terhadap pelbagai pihak secara langsung ataupun tidak langsung.  Oleh itulah, semua pihak mestilah memberi kerjasama dan komitmen untuk mengatasi masalah tersebut sebelum lebih ramai remaja yang terus terlibat dalam gejala sosial tersebut. 



  

No comments:

Post a Comment